Berita Harian, KGMMB tawar 300,000 tiket penerbangan .
KUALA LUMPUR: Koperasi Guru-Guru Melayu Malaysia Barat Berhad (KGMMB) dan Berita Harian menawarkan 300,000 tiket penerbangan dua hala dengan potongan harga rendah untuk destinasi domestik dan serantau sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Kop KGMMB Bhd-Berita Harian mulai 15 Februari hingga hujung Mei depan.
Tiket RM70 untuk destinasi domestik dan RM110 serantau itu boleh dimiliki pembaca Berita Harian yang mengumpul kepala akhbar surat khabar itu selama tujuh hari berturut-turut dan menebusnya bagi mendapatkan satu tiket di kaunter Balai Berita Bangsar, pejabat KGMMB dan cawangan The New Straits Times (NSTP) seluruh negara.
Pengerusi KGMMB Bhd, Dr Abdul Raheem Mohammad Yusof, berkata promosi ini sebahagian Kempen Keselamatan Jalan Raya Kop KGMMB-Berita Harian bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati sewaktu memandu.
“KGMMB Bhd berbangga dapat memberi sumbangan kepada usaha kerajaan dalam mencapai kadar kemalangan jalan raya pada tahap minimum.
“Kami berasakan cara ini sebagai pendekatan kreatif dan inovatif kerana dapat memberi peluang kepada rakyat Malaysia khususnya dan pembaca amnya untuk keluar bercuti bagi mengurangkan tekanan daripada kesesakan lalu lintas contohnya yang menjadi antara penyebab kemalangan jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi menandatangani Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Mior Kamarul Shahid di Balai Berita NSTP, di sini, semalam.
Perjanjian disaksikan Timbalan Pengerusi KGMMB, Suhaimi Ramli dan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Mahfar Ali itu turut ditandatangani Setiausaha KGMMB, Awi Abdul Jalil serta Bendahari KGMMB, Nor Azman Nordin.
Kempen ini turut disokong Flyfirefly Sdn Bhd yang bermurah hati menyumbangkan tiket berharga rendah itu.
Keratan akhbar Harian Metro, Rabu 03 Februari 2010.